2.2 KEMUDAHAN UNTUK MENGAKSES MAKLUMAT TENTANG AGAMA ISLAM
Populariti laman sosial seperti Facebook, Twiter dan sebagainya menyebabkan timbulnya usaha untuk membangunkan jaringan sosial tempatan yang sesuai dengan kandungan dan pengguna di Malaysia (Siti Eizaleila dan Azizah, 2010). Ini memberi satu alternatif baru dalam interaksi dan komunikasi melalui ruang maya. Secara amnya, kewujudan laman web rangkaian sosial telah digunakan oleh semua peringkat lapisan masyarakat tidak kira sama ada golongan pelajar, surirumah, para pekerja sektor awam mahupun swasta. Oleh itu, kemunculan media baru khususnya media sosial pada masa kini dilihat sebagai satu wadah penting untuk berdakwah dalam kalangan rakyat Malaysia. Menurut Sohirin (2008), usaha dakwah melalui Internet perlu diberi keutamaan berbanding penggunaan media tradisional. Ini kerana penyampaian mesej dakwah itu boleh merentasi sempadan seterusnya mampu mensasar kepada bukan sahaja orang Islam malah segenap lapisan bangsa. Melalui penggunaan media, pelbagai keperluan semasa umat Islam dapat dicurahkan oleh umat Islam itu sendiri mengikut citarasa kontemporari yang sesuai dengan ajaran Islam dan yang sentiasa menjadi pilihan alternatif umat Islam sekarang. Penggunaan media dalam Islam seharusnya lebih menekankan konsep tauhid dan menjadikan Islam sebagai acuan hidup mereka.
Rosmawati (2011) menjelaskan antara kelebihan laman web sosial yang menjadikannya sebagai pilihan pengguna internet hari ini adalah disebabkan penawarannya mencipta personal maya dalam setiap profil pengguna serta sebagai bentuk komunikasi dengan pelbagai aktiviti. Ini membolehkan pengguna bergerak secara aktif dalam komunikasi maya dan berkongsi idea secara individu. Selain itu, para pengguna bebas bersuara dan melontarkan pandangan melalui tulisan-tulisan mereka di laman-laman sosial. Selain daripada itu, menurut Siti Eizaleila dan Azizah (2010), laman jaringan sosial yang muncul kebanyakkannya menawarkan fungsi yang sama iaitu sebagai tempat untuk bertemu sahabat baharu, mengekalkan persahabatAn, berkongsi maklumat dan idea untuk tujuan peribadi mahupun tujuan perniagaan serta menyatukan orang ramai. Ini jelas menunjukkan kelebihan media sosial yang boleh digunakan oleh para pendakwah dalam menyebarkan mesej Islam kepada seluruh masyarakat di Malaysia mahupun merentasi sempadan dunia. Sehubungan itu, Rosmawati (2011) juga berpendapat bahawa peranan penggunaan laman web sosial untuk menembusi benteng sasaran dakwah remaja yang gemarkan gajet teknologi pelengkap interaksi sosial mereka seperti melalui Facebook, Twitter mahupun Myspace dilihat sebagai faktor kepada pengimplementasian dakwah alaf baharu.
Justeru, dakwah pada hari ini memerlukan pendekatan yang lebih interaktif sesuai dengan peredaran dunia teknologi yang lebih maju. Walau bagaimanapun, dalam menjalankan usaha dakwah yang lebih dinamis dan optimis, para pendakwah tidak perlu sehingga menafikan pendekatan dakwah klasik berdasarkan amalan Rasulullah SAW. Namun, pendekatan dakwah itu perlu sejajar dengan bentuk penerimaan masyarakat hari ini yang memerlukan mekanisme baru dalam penerimaan maklumat. Daripada sudut yang lain, peranan media sosial sebagai jentera perubahan dan pencipta permainan baru boleh digunakan untuk kebaikan masyarakat dan keluarga. Oleh itu, laporan menurut BERNAMA (2011), Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia iaitu Datuk Seri Dr. Rais Yatim menyatakan bahawa penggunaan media sosial patut digalakkan tetapi perlu mempunyai konvensyen mereka sendiri mengenai apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat. Di sini jelas menunjukkan bahawa para pendakwah dan pengguna media khususnya perlu tahu tentang etika penggunaan internet serta bijak dalam membincangkan isu-isu keagamaan dengan cara yang lebih kreatif serta mengikut landasan yang ditetapkan syarak. Sebagai contoh, laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sendiri menggunakan web sosial mereka dengan pelbagai aplikasi yang berguna kepada masyarakat serta memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk berkongsi pendapat dan menjawab pelbagai kemusykilan agama. Selain itu, kelebihan media sosial yang tidak dapat dinafikan adalah sifatnya yang menarik, pantas dan mudah serta hanya mengambil masa beberapa saat sahaja untuk pendakwah menyampaikan mesej dakwah Islamiah kepada masyarakat. Ia juga mengamalkan interaksi dua hala antara pendakwah dan masyarakat apabila saling berbincang di forum-forum mahupun memberi maklumbalas secara bertulis di pelbagai sudut media sosial.
Comments
Post a Comment