4.0 CABARAN YANG DIHADAPI DALAM MENYAMPAIKAN DAKWAH MELALUI MEDIA SOSIAL
Perubahan dunia masa kini amat pantas hasil ledakan teknologi maklumat. Ini telah membawa fenomena apabila penggunaan aplikasi media sosial dalam pelbagai aspek kehidupan termasuklah aktiviti dakwah. Setiap hari pelbagai hasil ciptaan baru dari inovasi teknologi. Contohnya aplikasi media sosial seperti Facebook, Whatsapps, Instagram dan Twitter, dilihat berpotensi memberi peluang yang meluas terhadap penyebaran mesej dakwah. Hal ini kerana sifatnya yang pantas, langsung ke sasaran, meluas penggunaannya dan lebih global. Bukan itu sahaja, teknologi dan maklumat telah berjaya menghapuskan batasan sempadan sesebuah negara. Malahan ia berjaya merubah bentuk pemikiran, ideologi, budaya dan berbagai elemen luar memasuki ruang negara lain tanpa sekatan dan kawalan.
John Naisbitt meramalkan bahawa salah satu daripada sepuluh kecenderungan manusia di awal abad kedua puluh satu ialah maklumat. Maklumat sangat berharga dalam dunia globalisasi hingga ia menjadi penentu dan penggerak kepada masa depan. Ledakan teknologi alaf baru ini akan membawa cabaran dan impak yang kuat terhadap pegangan dan penghayatan nilai-nilai murni agama serta akhlak masyarakat dan pengaruh negatif yang merubah minda serta gaya hidup insan. Ia mampu menghakis dan mengubah paradigma tauhid, syariah dan akhlak mulia sehingga mengikis nilai-nilai keinsanan.
Jesteru itu, suatu pendekatan dan tindakan yang menggunakan metodologi Islam perlu dilaksanakan bagi tujuan mengawal, mendidik dan menjamin agar pengaruh buruk media alaf baru ini tidak menjadi barah kepada penyakit sosial yang sedia ada. Pendekatan Islam dikemukakan bagi tujuan mendidik dan mengawal individu daripada hanyut dan lemas dalam dunia tanpa sempadan.
Dakwah adalah merupakan ajakan atau seruan ke arah penerimaan, penghayatan ajaran dan nilai-nilai Islam. Aspirasi ini dapat direalisasikan melalui pengurusan dan perancangan yang sistematik sesuai dengan saranan Al-Quran supaya dakwah disampai dan disebarluaskan secara hikmah dan teratur. Artikel ini membincangkan potensi penggunaan teknologi komunikasi terutamanya media baharu untuk aktiviti dakwah dan cabaran yang munkin timbul dalam penggunaannya. Perbincangan adalah berdasarkan senario semasa dalam konteks lanskap media berkaitan penggunaan media untuk aktiviti dakwah di Malaysia khususnya. Aktiviti dakwah semasa mestilah mengambilkira penggunaan media yang dimiliki dan digunakan oleh khalayak untuk memastikan kesampaian dan penerimaan mesej dakwah dan seterusnya membantu perkembangan ajaran Islam yang betul. Media baru sebagai alat menyebarkan maklumat pada masa kini dilihat begitu berbeza dengan medium pembelajaran agama sebagaimana yang dilakukan sebelum ini. Oleh itu, terdapat beberapa isu utama yang menjadi cabaran dalam melebarkan dakwah melalui media baru seperti yang dibincangkan dalam blog ini.
Kalau dilihat perkembangan dakwah Islam dari dahulu sehingga kini, ternyata bahawa para pendakwah khususnya dan umat Islam umumnya tidaklah mengggunakan sesuatu media tertentu, dan tidak pula menghadkan kepada hanya sesuatu media tertentu saja yang boleh digunakan dalam menyampaikan dakwah Islamiah di seluruh dunia ini. Kemajuan dalam teknologi komunikasi telah mengubah lanskap penggunaan media dalam kalangan pengguna dan juga dalam aktiviti dakwah. Dilihat kepada perkembangan Internet umpamanya, perbezaan nisbah kuantiti laman web dan blog agama selain Islam, telah mengatasi bilangan web dan blog Islam itu sendiri. Justeru itu, telah menjadi tanggungjawab para pendakwah tersohor untuk membina lebih banyak laman web dan blog, seperti yang dilakukan oleh Dr. Yusuf al-Qardawi dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk’ Dr Zulkifli Mohd Al-Bakri serta lain-lain lagi. Penggunaan meluas media baharu ini ternyata memberikan cabaran kepada aktiviti dakwah Islam di Malaysia dan di peringkat global.
Penggunaan media baru adalah sebagai memenuhi tuntutan semasa terhadap konsep al-hikmah dalam dakwah. Perkataan al-hikmah ini telah disebut sebanyak 20 kali dalam Al Quran dan biasanya dirangkaikan dengan perkataan al-Kitab yang ditakrifkan sebagai pengetahuan yang dibawa oleh para Nabi. Al-hikmah juga termasuk dalam kaedah merombak tradisi dan amat sukar jika tidak menyampaikan sesuatu perkara secara berhikmah kerana manusia mempunyai kesukaran yang tinggi untuk meninggalkan kebiasaan atau merubah tradisi.
Jalinan dakwah dan maklumat agama berkemungkinan tidak sampai kepada masyarakat Islam pada hari ini sekiranya penggunaan alat untuk berdakwah melalui media tulisan tidak dipraktikkan pada peringkat awal Islam. Aktiviti penulisan sebagai alat sebaran telah dimanfaatkan oleh para Sahabat Nabi saw sendiri. Abu Umamah al-Bahili, Abu Ayyub al-Ansari dan Abu Bakar al-Siddiq sendiri adalah antara para penulis hadis Nabi yang menyumbang kepada penyebaran dakwah pada zaman itu. Begitu juga pada zaman Khilafah Islamiyah, Abu Bakrah al-Thaqafi, Abu Rafi‟, Abu Said al-Khudri, Abu Musa al-Asy‟ari, Abu Hurairah dan sebagainya juga adalah penulis. Contoh yang jelas dalam perkara ini ialah tulisan Zayd bin Thabit yang diiktiraf sebagai buku pertama dalam masalah fara‟idh sehingga Jaafar bin Burqan menyebut: “Seandainya Zayd bin Thabit tidak menulis tentang ilmu fara‟idh nescaya ilmu tersebut sudah lama hilang”.
Comments
Post a Comment