4.1 CABARAN-CABARAN YANG DIHADAPI
Persoalan berkaitan media yang berfungsi sebagai medium pembelajaran agama perlu dilihat dari pelbagai demensi. Agama berkait rapat dengan kepercayaan dan pokok utamanya ialah masalah kepercayaan serta keyakinan diri terhadap Allah swt. Kepercayaan dan keyakinan ini perlu direalisasikan dengan ibadat, akhlak serta tingkahlaku sosial. Media baru sebagai alat menyebarkan maklumat pada masa kini dilihat begitu berbeza dengan medium pembelajaran agama sebagaimana yang dilakukan sebelum ini. Oleh itu, terdapat beberapa isu utama yang menjadi cabaran dalam melebarkan dakwah melalui media baru ini.
Jika dilihat dari sudut yang negatif, banyak cabaran yang perlu ditempuhi oleh masyarakat khususnya golongan remaja dan belia terutamanya isu yg berkaitan dengan gejala sosial yang melibatkan penggunaan media alaf baru ini. Lebih-lebih lagi dengan perkembangan arus semasa, kebanyakan golongan remaja dan belia mengguna media alaf baru untuk menjalin hubungan sosial seperti menerusi laman web Facebook, Twitter, Whatsapp, Instagram dan lain-lain lagi yang menawarkan pelbagai tawaran serta perkhidmatan yang menarik dan menyeronokkan yang sememangnya menarik para remaja dan belia untuk menyertainya. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa laman web sosial sebegini mempunyai banyak kebaikan dan kelebihan seperti dapat berhubung serta membincangkan isu-isu terkini melalui ruangan mesej dan seumpamanya. Namun begitu juga keburukannya kerana penggunaanya adalah tanpa kawalan. Laman-laman web sebegini juga menjadi tumpuan para penjenayah yang mahu menjadikan remaja atau belia sebagai mangsa mereka. Terdapat juga para remaja dan belia yang mungkin tidak menyedari keperluan untuk menjaga maklumat peribadi mereka, ataupun gambar-gambar peribadi mereka daripada jatuh ke tangan pihak yang tidak dikenali dan sekaligus menjadi mangsa penjenayah-penjenayah dunia siber seperti terlibat dalam dunia pornografi, pelacuran, seks bebas, penculikan dan pemerdagangan manusia.
Cabaran pertama yang dihadapi adalah dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran Islam sebelum ini secara berkesinambungan telah dilakukan mengikut tradisi yang penuh dengan nilai-nilai agama. Penyampaian berita dalam Islam pada asasnya telah dibuat dengan teliti dan disampaikan dari satu generasi kepada generasi berikutnya berdasarkan kitab- kitab muktabar yang diturunkan secara mutawatir. Masyarakat Islam menyanjung tinggi nilai kandungan maklumat keagamaan yang menyebabkan maklumat Islam itu sendiri sentiasa berada pada tempat yang paling berintegriti sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran melalui surah al- Hujuraat, ayat 6. Dalam menuju matlamat dakwah, kandungan maklumat agama melalui internet dilihat terlalu terbuka dan bebas tanpa tapisan serta boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja dengan cara memuat turun berita secara bebas. Keadaan ini sudah tentu mencabar konsep mutawatir dan integriti maklumat dalam Islam.
Kedua, selain mencabar konsep mutawatir, ruang internet yang terbuka dan bebas sehingga boleh menjadikan semua penjelasan agama begitu mudah didapati menyebabkan berlakunya penumpukan maklumat agama secara berlebihan yang membawa kepada masalah kebanjiran maklumat. Masalah kebanjiran maklumat boleh mewujudkan suasana huru-hara dalam mencari maklumat yang dapat dipercayai. Antara tanda-tanda lebihan muatan maklumat ialah rasa cemas (anxiety), kecewa, marah, lemah semangat, kacau bilau, keliru dan hilang kawalan diri bersangkutan maklumat. Justeru, alam media baru seperti wikis dan blog memerlukan ukuran dan metrik yang tepat untuk menentukan kewibawaan (credibility) maklumat dan tanggungjawab (trustworthy). Maklumat pengajaran Islam juga dilihat telah mengalami fasa ini di mana pengguna semakin dihimpit oleh timbunan maklumat agama atas talian secara tidak terkawal yang menyebabkan berlakunya kecelaruan maklumat agama yang membawa kepada implikasi fobia terhadap kandungan maklumatnya hanya akan menjerumuskan diri ke kancah kekeliruan dalam kehidupan.
Ketiga, keperluan terhadap media baru sebagai tempat pembelajaran agama juga menuntut kepada integriti dan lokus kawalan yang tinggi. Internet pada asasnya adalah sebuah media sosial yang mendedahkan kebaikan tetapi pada masa yang sama berbaur dengan pelbagai keburukan di dalamnya. Saluran ini tidak ada kesepakatan mengenai baik buruk, benar salah, asli palsu, berguna tidak berguna kerana semuanya menjadi semacam “nihilism‟ (serba kosong) walaupun ia juga boleh menjadi serba boleh, serba benar, serba berguna. Sukar bagi pengguna untuk memisahkan dua persimpangan yang memerlukan kemahiran membuat keputusan yang munasabah berasaskan lokus kawalan serta efikasi diri.
Comments
Post a Comment