1.0 PENGENALAN

 Apabila kita bercakap mengenai dakwah, perkara pertama yang kita bayangkan ialah proses penyebaran ilmu, maklumat dan syiar Islam dengan cara bersemuka (face to face). Tanggapan ini sangat ketara sehingga awal abad ke-20 dimana pada ketika ini proses pendakwahan bersemuka masih lagi ketara dan begitu popular dalam kalangan masyarakat setempat.

    Pada awal abad ke 21 ini, perkembangan internet yang sangat pesat terutamanya di negara ini telah memungkinkan serta merancakkan lagi kaedah pendakwahan di negara ini terutamanya melalui medium baru yang mendapat tempat dinegara ini. Dalam era globalisasi, dunia tanpa sempadan dan penggunaan internet yang semakin digemari di negara ini, kaedah pendakwahan baru melalui internet sangat penting dan juga perlu di pertingkatkan. Menurut kenyataan di akhbar Berita Harian yang menyebut bahawa bilangan pengguna Internet di Malaysia dijangka meningkat kepada 25 juta orang menjelang 2015 berbanding 18 juta orang pada 2012. Sumber dari Laporan Ekonomi 2013/2014 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan itu juga menyebut bahawa kadar penembusan jalur lebar isi rumah pula meningkat kepada 66.8 peratus pada akhir Jun 2013 manakala dengan kadar penembusan telefon mudah alih melebihi 100 peratus, kini terdapat 42.6 juta langganan. Di negara ini pendakwahan melaui internet masih di tahap awal di mana tidak terdapat banyak badan yang menggunakan medium internet untuk berdakwah. Kajian ini bertujuan memberi beberapa cadangan dan strategi mengenai kaedah pendakwahan melalui internet di Malaysia dan cuba mencari jalan penyelesaian dan cadangan penambahbaikan yang perlu dilakukan untuk memperbaiki mutu pendakwahan melalui internet di Malaysia. Ia juga bertujuan melihat masalah serta cabaran yang dihadapi dalam pendakwahan melalui internet. Kajian mengenai Islam di internet banyak ditulis oleh sarjana Islam Barat (Brazil dan Amerika).

    Antara penulis yang banyak menulis mengenai Islam di Barat, khususnya di Britain ialah Gary Bunt yang banyak menulis artikel dan kajian mengenai penggunaan internet dan pengaruh media berkenaan kepada masyarakat Islam di Britain. Sementara itu, di Amerika Syarikat pula, penggunaan internet digunakan sebaik mungkin oleh pertubuhan di negara berkenaan demi untuk memberi penjelasan terhadap sesuatu isu. Sebagai contoh, selepas peristiwa 11 September terdapat banyak laman web yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai agama Islam dan keperluan untuk bertoleransi terhadap mereka yang beragama lain terutamanya sewaktu kebencian semakin meledak.

    Internet digunakan sebagai medium untuk memberi penjelasan lanjut mengenai sesuatu isu agar ia dapat mengharmonikan kehidupan bermasyarakat di negara berkenaan dalam suasana yang berbilang bangsa dan agama. Hal ini sepatutnya dicontohi oleh masyarakat di negara ini yang mempunyai situasi hampir sama dimana terdapat bangsa dan agama yang berbeza hidup dalam masyarakat majmuk. Penulis juga ingin memaklumkan bahawa pengguna terbesar internet di dunia ialah negara China, namun penulis ingin menghadkan skop kajian ini kepada kandungan dakwah di internet yang menggunakan medium bahasa Melayu dan Inggeris sahaja dan penulis tidak akan memasukkan perbincangan mengenai internet di dalam bahasa lain seperti bahasa India dan Cina.

    Dakwah bukan suatu perkara yang baru dalam peradaban Islam. Wasilah dakwah dalam Islam tidak hanya tertumpu kepada suatu cara yang khusus sahaja. Dalam melaksanakan tuntutan di medan dakwah, pendakwah harus menggunakan segala metod yang ada mengikut kesesuaian zaman. Gelombang modenisasi pada masa kini memperlihatkan bahawa media merupakan salah satu sumber ilmu yang sangat rapat dengan manusia. Malah, dengan adanya media pada hari ini, masyarakat mampu memperoleh maklumat dan berbincang di alam maya walaupun dalam jarak yang sangat jauh. Media merupakan satu saluran yang membawa kepada perjalanan maklumat daripada satu sumber kepada satu sumber yang lain. Kejayaan Islam masa lalu yang bermula daripada agama berasaskan ilmu dan nilai-nilai luhur hingga mencapai satu tahap ketamadunan dimensi sejarah yang begitu gemilang. Berdakwah menerusi media telah wujud sejak dari zaman Rasulullah SAW namun melalui wasilah yang berbeza berbanding pada masa kini. Kajian ini membincangkan mengenai konsep berdakwah menerusi media, syarat-syarat dakwah menerusi media dan juga peranan yang harus dimainkan oleh media dalam Islam.

    Dakwah merupakan ajakan atau seruan ke arah penerimaan, penghayatan ajaran dan nilai-nilai Islam. Aspirasi ini dapat direalisasikan melalui pengurusan dan perancangan yang sistematik sesuai dengan saranan AlQuran supaya dakwah disampai dan disebarluaskan secara hikmah dan teratur. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl 16:125 yang bermaksud: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. Ayat ini menuntut pendakwah untuk menyeru manusia ke arah kebaikan dengan pendekatan hikmah iaitu bijaksana. Hikmah di sini membawa maksud hikmah dari sudut pendekatan dakwah, isi kandungan 93 dan metodologi yang bersesuaian. Menurut Ruzain (2011) kaedah dakwah yang dituntut juga haruslah mengikut keperluan zaman dan sesuai dengan kemampuan masyarakat. Hikmah mungkin boleh difahami sebagai kepelbagaian dalam menggunakan wasilah yang paling sesuai bagi mencapai sesuatu tujuan. Oleh itu, media sebagai alat komunikasi dan sebaran masa kini sangat menepati ciri-ciri hikmah yang dinyatakan.

    Walaupun ramai yang beranggapan bahawa internet memaparkan budaya dan cara kehidupan Amerika Syarikat seperti budaya filem Hollywood dan cara kehidupan Barat, namun usaha-usaha harus dilakukan untuk mengharmonikan hubungan antara agama dan media sosial era baru ini. Antara sebabnya ialah kerana kepentingannya sebagai satu media utama sejak alaf baru menggantikan media cetak seperti akhbar dan majalah sebagai sumber rujukan ilmu dan pengetahuan dalam kalangan masyarakat Negara ini. Ramai juga yang beranggapan bahawa internet sebagai suatu media utama yang tidak boleh disekat merupakan suatu ancaman kepada perkembangan dakwah dimana penyebaran berita secara meluas ini menyebabkan pendakwah sukar untuk menangani gejala penyebaran beritanya yang membawa dua kesan iaitu baik dan buruk. Ini kerana walaupun terdapat unsur-unsur kebaikan, terdapat banyak unsur-unsur negative yang dibawa bersamanya seperti video lucah dan gambaran yang tidak baik yang boleh merosakkan masyarakat. Namun, ia juga harus dipelajari dan dipergunakan sebaiknya demi untuk kepentingan dakwah Islamiyah. Negara jiran juga mengalami dan merasai ledakan pengaruh internet ini apabila kebanyakan rakyatnya menjadi pengguna tegar internet. Hal ini dijelaskan oleh Ibnu Ahmad bahawa pada tahun 2012 sahaja terdapat seramai 61 juta pengguna internet di Negara Indonesia yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar sekolah dan universiti. Ahmad juga menjelaskan betapa pentingnya menggunakan media internet ini sebagai medium dakwah dan demi untuk menarik pengguna internet yang jumlahnya sehingga peringkat juta itu. Ini kerana pengunjung internet bukan sahaja terdiri daripada masyarakat tempatan tetapi juga masyarakat dunia yang lain yang boleh membaca dan memahami bahasa yang digunakan oleh medium berkenaan.

    Antara laman web yang juga boleh digunakan untuk memudahkan soal jawab dan penjelasan agama ialah facebook, dimana terdapat kemudahan bersoaljawab, video calling dan sebagainya yang memudahkan komunikasi apatah lagi dengan kemudahan perkhidmatan percuma yang disediakan tanpa menggunakan sesen pun. Inilah yang perlu dipergunakan dengan sebaiknya oleh pendakwah era baru dengan memulakan kaedah pendakwahan dengan menarik lebih ramai pengguna untuk menyukai (like) laman web facebook yang dianjurkan untuk tujuan berdakwah ini. Dengan cara itu pengguna yang ingin mempelajari dan mendalami ilmu agama akan lebih mudah tertarik dan sentiasa dihidangkan dengan pengetahuan berunsur Islam dan secara tidak langsung akan terus mendokong dakwah Islamiyah. 

   Penggunaan media seperti internet yang meluas melalui laman blog, Facebook, Twitter, Skype, Instagram dan lain-lain di samping media massa yang sedia ada seperti akhbar, radio dan televisyen merancakkan lagi penyebaran maklumat dan informasi dalam kalangan masyarakat. Justeru itu, media massa memainkan peranan dan tanggungjawab yang penting serta amanah yang sangat berat dalam menyampaikan maklumat yang benar, tepat dan berfaedah kepada masyarakat. Bukan itu sahaja, bahkan maklumat yang disebarkan oleh media massa juga perlu mengambil kira tanggungjawab untuk mendidik masyarakat ke arah kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Oleh itu, persiapan atau persediaan perlu diurus dengan sebaiknya agar dapat meyakinkan tentang topik yang akan dibicarakan.

    Ghazali (2007)berpendapat bahawa dalam membentuk komunikasi Islam yang sesuai dengan kehendak yang telah ditetapkan oleh Islam, maka beberapa syarat-syarat dalam penggunaan media yang perlu dituruti oleh media yang selari dengan syariat Islam adalah seperti berikut: 

  • Membetulkan niat melakukan usaha penerbitan media semata-mata kerana Allah. Dalam melaksanakan tuntutan dalam berdakwah, setiap perkara yang dilakukan hendaklah semata-mata kerana Allah. Niat yang betul akan membuahkan hasil yang dapat memberi natijah yang berkesan kepada golongan sasaran. Tugas menyebarkan dakwah ini bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan sambil lewa sahaja. Ianya memerlukan kepada niat dan juga pengisian yang bermatlamatkan untuk menyumbang kepada pembangunan ummah. Media dari perspektif Islam haruslah bersifat menyuruh atau menyeru kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar. Media juga harus bersifat menyatakan sesuatu yang benar dan tidak memutarbelitkan keadaan dan kebenaran untuk kepentingan diri sendiri atau kumpulan (Zulkiple Abd Ghani 2001:30). 
  • Perkara yang diterbitkan mestilah yang dibenarkan oleh syarak. Perkara yang diterbitkan oleh pihak yang menggunakan metod media sebagai wasilah untuk berdakwah haruslah yang halal dan tidak cenderung kepada sesetengah pendapat sahaja. Ianya haruslah bersifat menyeluruh dan tidak lari dari ajaran Islam. Saluran maklumat yang diberikan juga haruslah tepat dan menepati ajaran Islam agar masyarakat tidak keliru dan mudah memahami isi dakwah yang disampaikan.
  • Pelaksanaan media hendaklah mengikut lunas-lunas yang dibenarkan oleh syariat, tidak menyalahi hukum-hakam dan bertugas menyebarkan dakwah Islam sebagai melaksanakan tugas fardu kifayah. Penggunaan media untuk penyiaran agama sangat penting terutama pada zaman teknologi maklumat masa kini. Menurut Ahmad (2006) media Islam pada hari ini juga perlu tampil sebagai pembina budaya dengan melakukan islah budaya yang berjiwa tauhid dalam kerangka dan batas syariat. Penggunaan media amat membantu kepada perkembangan Islam di Malaysia. Melalui medium ini, mesej Islam dapat disampaikan secara lebih berkesan. Kehidupan pada masa kini dipengaruhi oleh teknologi moden dan masyarakat terbudaya dengan media di mana kebanyakan ideologi budaya dan penerapan nilai diturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain melalui media seperti televisyen, muzik dan internet.
    Kemajuan media yang berkembang pesat membawa kepada perubahan sosial yang pelbagai. Masyarakat Muslim kini sedang berhadapan dengan perubahan era teknologi maklumat dan komunikasi yang rata-ratanya mempengaruhi kehidupan seharian. Justeru, perkembangan dakwah juga harus seiring dengan perkembangan zaman supaya turut sama cenderung menggunakan metodologi kontemporari. Pendakwah harus lebih berani mengaplikasi apa jua teknologi bagi memperkukuh metodologi dakwah sedia ada supaya lebih mantap dan berkesan.

  • Natijah daripada usaha itu disalurkan kembali ke jalan Allah untuk terus mengembangkan ajaran Islam dalam bentuk-betuk perjuangan yang lain seperti penglibatan dalam sektor ekonomi, siasah, seni secara Islam dan lain-lain. Penggunaan media amat membantu kepada perkembangan Islam di Malaysia. Melalui medium ini, mesej Islam dapat disampaikan secara lebih berkesan. Kehidupan pada masa kini dipengaruhi oleh teknologi moden dan masyarakat terbudaya dengan media di mana kebanyakan ideologi budaya dan penerapan nilai diturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain melalui media seperti televisyen, muzik dan internet. Kemajuan media yang berkembang pesat membawa kepada perubahan sosial yang pelbagai. Masyarakat Muslim kini sedang berhadapan dengan perubahan era teknologi maklumat dan komunikasi yang rata-ratanya mempengaruhi kehidupan seharian. Justeru, perkembangan dakwah juga harus seiring dengan perkembangan zaman supaya turut sama cenderung menggunakan metodologi kontemporari. Pendakwah harus lebih berani mengaplikasi apa jua teknologi bagi memperkukuh metodologi dakwah sedia ada supaya lebih mantap dan berkesan.
  • Tidak meninggalkan perkara-perkara asas yang menjadi teras keimanan seseorang sepanjang proses penyediaan media berkenaan. 96 Dalam menjalankan aktiviti dakwah, para pendakwah diingatkan supaya tidak sesekali meninggalkan perkara asas yang menjadi pasak keimanan umat Islam. Melalui penggunaan media, pelbagai keperluan semasa umat Islam dapat dicurahkan oleh umat Islam itu sendiri mengikut citarasa kontemporari yang sesuai dengan ajaran Islam dan yang sentiasa menjadi pilihan alternatif umat Islam sekarang. Penggunaan media dalam Islam seharusnya lebih menekankan konsep tauhid dan menjadikan Islam sebagai acuan hidup mereka.
    Peranan media dalam Islam mestilah menonjolkan prinsip yang selari dengan ajaran yang telah ditetapkan oleh Islam. Dalam konteks komunikasi Islam yang mempunyai ruang lingkup yang lebih luas tentang media, Islam telah menetapkan bahawa media Islam mestilah selari dengan peranan agama Islam.
    
    Berdasarkan kepada syarat-syarat yang di atas, dapat disimpulkan bahawa prinsip media dalam Islam itu haruslah berpandukan kepada ajaran Islam yang sebenar. Di samping itu, para daie juga harus menitikberatkan isi-isi dakwah yang terkandung agar tidak menyakiti hati golongan sasaran dalam proses berdakwah melalui saluran media ini. Saluran maklumat yang diberikan juga haruslah tepat dan menepati ajaran Islam agar masyarakat tidak keliru dan dengan mudah boleh memahami isi dakwah yang disampaikan. Syarat-syarat yang telah ditetapkan itu sebenarnya memberi faedah kepada manusia sejagat yang terkandung di dalamnya konsep menyuruh kepada yang makruf dan menegah kepada yang mungkar. Melalui syarat yang digariskan, para pengamal media seharusnya dapat membina dan mendidik masyarakat menjadi lebih berilmu.  

    Badlihisham (2012) berhujah bahawa Islam dan dakwah adalah satu kebangkitan yang seiring dan menuju destinasi yang sama. Lebih jelas lagi jika dikatakan bahawa dakwah adalah sebahagian dari Islam yang tidak boleh dipisahkan. Simbiosis yang kukuh di antara Islam dan dakwah membuka suatu penelitian dan panduan yang berguna kepada semua pihak yang terlibat dalam perjuangan suci ini. Media dakwah bererti saluran dakwah atau saluran sesuatu isi dakwah untuk disampaikan kepada sasaran. Dalam bahasa Arab ia disebut wasilah al-da’wah – wasilah dakwah (Abdullah et al. 1997). Berdakwah dalam Islam bukan sekadar berceramah semata-mata. Ianya meliputi aspek bagaimana dakwah itu harus diatur, disusun menjadi suatu program yang harus dijalankan secara sistematik. Media menjadi salah satu wasilah dakwah yang digunakan oleh para pendakwah pada masa kini. Sebagaimana media banyak membantu komunikasi dan sebaran maklumat di kalangan masyarakat, ia juga banyak membantu gerakan dakwah dalam sesuatu organisasi mahupun individu itu sendiri dalam memperjuangkan amanah Allah di muka bumi. 
    
    Media dalam Islam juga banyak membantu pendakwah dalam memahami sasaran dakwahnya. Etika dalam komunikasi media yang berkesan akan membuatkan sasaran dakwah percaya kepada pendakwah dan akan menceritakan permasalahannya yang wujud. Adalah menjadi satu kewajipan kepada para pendakwah untuk menyumbang kepada dakwah melalui pendekatan yang sesuai dan selaras dengan tahap golongan sasaran melalui saluran media yang berkesan pada abad ini yang disebabkan oleh populariti dan peranannya sebagai senjata yang mempunyai serampang dua mata (Badlihisham 2012). Penggunaan media telah lama digunakan dalam Islam dan ianya telah muncul sejak awal zaman Rasulullah SAW. Sebagai contoh, al-Quran mendatangkan cerita-cerita zaman dahulu yang boleh digambarkan seolah cerita-cerita drama. Begitu juga Rasulullah telah menugaskan beberapa orang sahabat untuk berseni di pentas-pentas syair sebagai cara menyebarkan dakwah dan juga membalas tohmahan para musyrikin seperti mana baginda mengarahkan Hassan bin Tsabit ketika perang Bani Quraizhah: “Seranglah kaum Musyrikin (dengan syairmu), kerana Jibril bersamamu” (al-Bukhari, no. 6153 dan Muslim no. 2486). Ini kerana pentas syair boleh dianggap sebagai media utama masyarakat Arab ketika itu. 

Comments

Popular posts from this blog

4.1 CABARAN-CABARAN YANG DIHADAPI

4.0 CABARAN YANG DIHADAPI DALAM MENYAMPAIKAN DAKWAH MELALUI MEDIA SOSIAL

MUKA DEPAN