2.1 SEBAGAI MEDIUM KONGSI MAKLUMAT
Usaha itu biarpun nampak mudah, tetapi kesannya amat besar kerana internet sudah menjadi medium utama perkongsian maklumat masa kini. Boleh dikatakan semua golongan muda mendapat capaian internet sama ada menggunakan komputer, telefon pintar atau gajet lain.
Menyediakan bahan untuk disebarkan itu perlu kepada penyertaan golongan berilmu dalam kalangan ustaz, pegawai agama, guru, pensyarah dan mereka yang terbabit secara langsung dalam ilmu agama. Bahan yang disediakan itu dapat dikongsikan oleh orang lain. Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa menyeru manusia kepada sesuatu kebaikan, dia akan beroleh pahala sebanyak pahala orang yang mengikutnya dan berkekalan selagi orang itu terus melakukan perkara kebaikan itu." (Riwayat Muslim) Agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan agama perlu memainkan peranan utama untuk menyediakan bahan dakwah di internet. Mereka mempunyai pakar dan tenaga terlatih untuk mengendalikan laman web masing-masing secara lebih menarik dan bermanfaat. Agensi agama mempunyai autoriti dalam bidang agama boleh mengetengahkan isu dan persoalan ummah kontemporari. Sebarang permasalahan semasa dijawab dengan cepat dan mudah. Pelayar laman itu lebih yakin dan menerima kandungan yang dimuatkan.
Selain dalam bentuk tulisan dan gambar, internet juga boleh berkongsi audio video. Pengunjung dapat merasakan seperti menghadiri majlis ilmu. Banyak pendakwah kini memuatkan video ceramah dalam laman maya seperti Youtube. Dakwah melalui internet sangat berkesan. Tugasan dakwahnya dijalankan selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun. Maklumat di internet menjadi perpustakaan terbesar di dunia. Pengunjungnya boleh keluar masuk pelbagai laman tanpa batasan. Menariknya keistimewaan berdakwah melalui internet ialah halangan bahasa tidak begitu ketara kerana pencari maklumat mudah untuk mengalih bahasa atau terjemahan melalui aplikasi yang disediakan. Keistimewaan ini mesti direbut dan digunakan oleh pendakwah semaksimum mungkin. Jika kemudahan ini tidak digunakan sepenuhnya, pengunjung internet akan lebih tertumpu kepada laman tidak berfaedah.
Comments
Post a Comment