5.0 PENYELESAIAN MASALAH DAKWAH ISLAM DI MEDIA SOSIAL
Sebagai pengguna media baru untuk tujuan pembelajaran agama, pengguna perlu memahami bahawa sebarang bentuk nilai maklumat dalam media baru datang dari pelbagai latar belakang penulisan. Terdapat dalam kalangan penulis yang hanya berniat untuk menyiarkan maklumat tanpa asas agama yang kukuh dan menyalin maklumat tersebut untuk disebarkan. Keadaan ini sudah tentu menghilangkan maksud asas mutawatir yang mana ilmunya diperturunkan secara sah. Berdasarkan keadaan ini, pendakwah siber dapat dibahagikan kepada beberapa kategori, kategori pertama ialah pendakwah tulen yang memiliki autoriti dalam bidang agama serta dikenali dalam kalangan masyarakat seperti Dr Zaharudin Abdul Rahman, Dato’ Dr. Muhammad Izhar Ariff dan sebagainya. Kategori kedua ialah golongan pendakwah tulen yang hanya boleh dikesan melalui ketinggian ilmunya dalam mengupas isu-isu Islam tetapi kemasyhurannya belum dikenali dalam kalangan masyarakat. Kategori ketiga pula ialah golongan bukan agamawan tetapi berminat dengan menjalankan dakwah dan penyebaran maklumat agama melalui laman sesawang.
Dalam menangani isu ini, pengguna boleh menerima maklumat yang disampaikan oleh penulis sesawang ini dengan cara membuat perbandingan dengan maklumat lain dan melakukan rujukan agama selagi penulis tidak menokok tambah huraiannya sehingga menyimpang dari maksud asal. Apa yang perlu dilakukan oleh pengguna, sesuai dengan perspektif Islam dalam menangani sebarang bentuk maklumat ialah dengan cara menyelidiki dahulu maklumat tersebut dari segi sumbernya. Pengguna juga boleh melakukan perbandingan maklumat melalui laman-laman sesawang yang lain dan sekiranya berlaku kesamaan maklumat pengguna boleh menerimanya. Selain itu maklumat yang datang dari blog-blog picisan boleh dikesan melalui sambutan pengunjung ke atasnya melalui daftar jumlah pengunjung serta ruang komentar yang ada. Selain itu, identiti penulis juga perlu diambilkira selaras dengan kehendak Islam. Ini bersesuaian dengan konsep tabayyun (menyelidiki kebenaran) yang disarankan oleh Islam. Dalam surah Al-Hujurat ayat 6, Allah memerintahkan umat Islam agar menyelidik terlebih dahulu kesahan berita yang mereka terima dari orang yang fasiq supaya mereka tidak tersilap membuat keputusan dan menyesal dengan keputusan tersebut. Menurut Ibn Khaldun (1969), beberapa asas terpenting komunikasi dalam Islam adalah kejujuran, keihklasan dan niat komunikator, kebenaran mesej, pengesahan sumber mesej, penyiasatan untuk mengesahkan kejujuran dan ketepatan komunikator.
Dalam menghadapi masalah kebanjiran maklumat agama sehingga menimbulkan rasa tidak senang serta sukar memilih maklumat yang tepat terhadapnya pula, pengguna boleh merujuk kepada ciri-ciri kredibiliti maklumat atas talian. Mohd Sobhi et al., (2011) telah menggariskan beberapa asas mengenai kredibiliti maklumat atas talian. Antaranya ialah penulisan itu mesti berasaskan kejujuran, kandungannya tidak berat sebelah, mementingkan aspek akhlak (moral), ada unsur keaslian bagi penulisan Islam, kandungannya bermaklumat, maklumat yang ada boleh disahkan. Sekiranya laman yang dituju menyentuh masalah soaljawab agama, jawapan yang diperolehi hendaklah dibandingkan dengan ulama terkenal yang dirujuk oleh majoriti pengguna untuk membuktikan kesamaannya, penulis tidak menyokong mana-mana pihak, tidak bekerja dibawah pengaruh orang lain, tahu mengenai aspek Islam, berdasarkan al-Quran dan Hadis, berpengalaman mengendalikan penerbitan Islam, mempunyai pengetahuan mengenai isu-isu Islam, selaras dengan pemikiran Islam serta berintegriti dan bertanggungjawab.
Internet secara asasnya adalah wadah kepada media sosial yang bersifat serampang dua mata dengan gabungan unsur kebaikan dan keburukan (Rahmat, 2010). Justeru, pengguna harus sedar bahawa yang dimaksudkan dengan media adalah alat untuk menyampaikan perkhabaran. Sama ada media lisan, cetak dan elektronik, ketiga-tiga saluran ini mampu membentuk dan mempengaruhi pandangan masyarakat. Abd.Aziz (1995) menyatakan tiada pengkelasan alat yang tidak baik atau tidak buruk tetapi fungsinya ditentukan sepenuhnya oleh pengguna termasuklah dalam penggunaan menyampaikan dakwah. Dalam menangani isu di atas, pengguna perlu mengakui bahawa wujudnya dakwah melalui media baru adalah satu cetusan inovasi dalam bidang dakwah melalui teknologi. Sebesar manapun inovasi adalah berkait rapat dengan tahap pengetahuan pengguna mengenai kepentingan dan kebergunaan inovasi tersebut. Bagi pengguna yang memahami situasi ini sudah tentu mereka akan memanfaatkan teknologi dengan menjadikan laman sesawang sebagai wadah penyediaan ilmu dan maklumat agama yang lebih baik. Menurut Umar & Samsudin (2010), kewujudan laman sesawang yang sepatutnya berupaya menyebarkan pelbagai maklumat agama tidak membawa apaapa makna sekiranya tiada kesedaran di atas kelebihan dan kebaikan teknologi media. Ini membuktikan bahawa faktor teknologi yang berbaur dengan pelbagai keburukan bukan menjadi penghalang kepada pengguna dalam menyebarkan maklumat agama tetapi kesedaran pengguna terhadap teknologi baru yang mampu memanfaatkan maklumat dan ilmu Islam adalah amat signifikan. Oleh itu, kesedaran dalam kalangan pengguna penting untuk memastikan medium ini dimanfaatkan secara maksimum sebagai tempat perkongsian ilmu agama secara bijak dan berhemah.
Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran dari perspektif Islam pula, didapati tidak semua aspek dalam pengajian Islam mampu terjawab melalui kaedah pembelajaran seperti ini. Senario ini menyokong pendapat yang mengatakan pendidikan Islam memerlukan sentuhan guru dalam memperolehi keberkatan dalam proses pembelajaran agama. Walaubagaimanapun, pengguna harus sedar secara asasnya pembelajaran ilmu fardhu ain sangat serasi dengan pendekatan berasaskan guru khususnya di peringkat kanak-kanak untuk menerapkan adab kerana pendidik perlu berinteraksi, bermuamalat dan bersahabat (musohabah) dengan peserta atau anak didiknya secara langsung (Noor Hisham, 2011). Pada peringkat ini konsep berguru adalah releven sebagai muaddib (pembina akhlak) dan sumber qudwah (contoh ikutan) untuk membimbing pelajar memahami, mengamal dan menghayati prinsip-prinsip Syariah dalam satu kerangka yang sepadu dan jelas. Guru juga perlu berperanan sebagai sumber rujukan yang berautoriti dan bertanggungjawab untuk menentukan tahap pencapaian pelajar (Fazlur Rahman, 1982; Noor Hisham, 2011).
Walau bagaimanapun dalam konteks pengajian agama di peringkat pendidikan tinggi, keadaannya tidak sama dengan pengajian fardu ain peringkat rendah. Di peringkat tinggi, penglibatan pelajarnya lebih aktif, pemikiran yang lebih kritis dan analitikal, berorientasikan masalah serta memenuhi keperluan semasa dalam bidang ilmu kifayah (Noor Hisham, 2011). Justeru, penggunaan media baru masih lagi mengekalkan adab hubungan berguru kerana konsepnya juga masih mengekalkan sifat interaktif walaupun tidak secara bersemuka. Pandangan serong mengenai adab-adab berguru dalam pembelajaran melalui maya ini perlu dikikis dan difahami kedudukannya. Tidak semua bentuk pengajian agama, pengetahuan dan ilmunya memerlukan sentuhan murabbi secara langsung sebaliknya mereka juga memerlukan kreativiti serta pembelajaran kendiri untuk mempelajari agama secara lebih meluas sesuai dengan peringkat umur. Perkara penting ialah pemantauan berterusan oleh para guru terhadap kesahihan maklumat yang disalurkan kepada para pelajar melalui media baru. Ini dibantu pula dengan pemantauan golongan agamawan terhadap isi kandungan agama dalam media baru bagi memastikan kesahihan maklumat yang disebarkan. Sikap prihatin dan ambil peduli sebegini sememangnya dianjurkan oleh Islam. Allah berfirman dalam ayat 2 surah al-Maidah yang bermaksud:
“Dan bantu membantulah kamu dalam perkara kebaikan dan takwa dan janganlah sesekali kamu bantu membantu dalam perkara dosa dan permusuhan”
Sehubungan itu, pandangan terhadap media baru tidak lebih daripada tempat mendapatkan maklumat agama semata-mata bukan menjurus kepada percambahan ilmu dan perubahan tingkah laku agama perlu dikikis.
Comments
Post a Comment