7.0 KESIMPULAN
Peranan media sosial yang meluas dan boleh dikatakan menjadi keutamaan generasi Y kini amat penting dalam penyampaian dakwah. Dakwah adalah perlu berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sampaikan dari ku walaupun satu ayat”. Berdasarkan riwayat Al- Bukhari ini telah menunjukkan bahawa dakwah adalah penting untuk dilakukan yang mana nabi Muhammad SAW menyuruh untuk berdakwah dan menyampaikan dakwah tersebut melalui pelbagai cara walaupun hanya satu ayat yang digunakan untuk menyeru masyarakat melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Sesungguhnya dakwah itu dituntut dalam Islam.
Seorang Pemikir Islam Syria Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buthi menyatakan: " Ternyata ledakan ICT dan jaringan internet yang hampir menelan seluruh penjuru dunia adalah merupakan medan luas yang di situ muncul mimbar-mimbar yang menyuarakan kepentingan islam, dengan memperkenalkan, mengajak (dakwah), membela dan menyelesaikan berbagai permasalahannya”. Pandangan beliau amat tepat sekali kerana Internet adalah sebuah gerbang yang besar yang mengandungi pelbagai jenis maklumat oleh pelbagai pengeluar maklumat.
Oleh itu, dakwah melalui ICT dapat dinilai sebagai mekanisma yang efektif dan berpotensi dengan beberapa alasan, diantaranya mampu melangkaui batasan ruang dan waktu serta berpengaruh pula dalam penyampaikan misi dakwah. Dakwah secara etimologi bermakna "seruan dan ajakan". Ini bertepatan dengan terminologi artinya iaitu "menggunakan akal fikiran dalam rangka menyelamatkan manusia dari rasa jauh dan lupa terhadap Allah SWT agar menjadi dekat dan ingat, melalui berbagai kaedah.
Dakwah dalam konteks masa kini haruslah lebih praktikal. Para pendakwah haruslah menggunakan kesemua uslub dan wasilah yang ada pada hari ini dalam usaha mengembangkan Islam kepada umum. Kesemua metod yang digunakan oleh Rasulullah dan para sahabat pada zaman dahulu menjadi pemangkin pembakar semangat umat sekarang dalam gerakan dakwah yang lebih efektif dan efisien. Kemunculan pelbagai domain dakwah yang menyediakan pelbagai platfom untuk menyampaikan ilmu menjadi teras dalam pembungunan sahsiah individu mengenai Islam dengan lebih terperinci. Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam dakwah adalah sangat penting dan dimanfaatkan sebaik dan sebijak mungkin. Kewujudan laman sosial seperti Facebook, Twitter dan lain-lain menjadi wasilah kepada para daie pada hari ini untuk berkomunikasi dengan golongan sasaran mereka dengan lebih rapat dan mesra. Dakwah merupakan satu usaha sesetengah golongan dalam menyeru dan menyampaikan ajaran Islam secara bijaksana kepada manusia yang lain. Kepesatan pembangunan teknologi merupakan satu penjuru yang tidak harus dipinggirkan dalam memartabatkan dakwah agar pengajaran dan maklumatnya sampai kepada khalayak dengan cepat, tepat dan berkesan. Kombinasi antara elemen dakwah dan teknologi mewujudkan satu fenomena yang mampu mencetuskan natijah untuk pembangunan jiwa ummah. Justeru, penggunaan media sebagai wasilah dakwah masa kini adalah amat penting dan bersesuaian dengan keperluan masyarakat.
Dakwah di era siber tertumpu kepada proses memanfaat ruang komunikasi berskala global dengan memahami tatacara permainan dan penguasaannya. Mauduk dakwah yang berfokus kepada memperkasa nilai-nilai keinsanan manusia bersaing secara bebas di ruang maya dan memerlukan 'semacam kekuasaan' untuk menakluk minda para siberis. Justeru itu, isu demi isu berkaitan dengan kemanusiaan akan terus muncul dari semasa ke semasa yang bukan sahaja memerlukan kepintaran teknologis, tetapi yang lebih penting ialah kepintaran menonjolkan mesej dakwah supaya terus dominan dengan matlamat memperolehi kebahagiaan dan menyebarkan salam kepada seluruh umat manusia.
Comments
Post a Comment